Cinta, Suka, Kasih Sayang seperti di dalam al-Qur'an

Allah dicinta dan Dia mencintai. Cinta-Nya akan menyebabkan kesalahan-kesalahan orang-orang yang mencintai-Nya diampuni. Dia dicinta dengan mengikuti wahyu yang diwahyukan melalui Nabi-Nya. Firman Allah,

"Katakanlah, 'Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih.'" (3:31)

Cinta pada-Nya mengatasi segala cinta lain, termasuk cinta pada manusia yang dijadikan rakan-rakan bagi Allah, atau pemberi petunjuk, seperti Nabi, Rasul, Imam, Tok Guru, dan sebagainya. Menyamakan cinta pada Allah dengan mereka selain daripada-Nya adalah suatu kezaliman. Firman Tuhan,

"Tetapi ada manusia yang mengambil untuk mereka rakan-rakan, selain daripada Allah, dengan mencintainya sebagaimana Allah dicintai, tetapi orang-orang yang percaya, mencintai Allah dengan lebih cinta. Sekiranya orang-orang yang membuat kezaliman dapat melihat, ketika mereka melihat azab, bahawa kekuatan kesemuanya adalah kepunyaan Allah, dan bahawa Allah amat keras dalam azab." (2:165)

Kerana mencintai-Nya amalan-amalan kebajikan seperti memberi makan kepada orang-orang miskin, anak yatim dan tawanan perang dilakukan. Firman Tuhan:

"Mereka memberi makan, kerana mencintai-Nya, kepada orang miskin, dan anak yatim, dan tawanan," (76:8)

Mereka yang berbuat demikian berkata, “Kami memberi makan kepada kamu hanya kerana mengharapkan Wajah Allah; kami tidak menghendaki balasan daripada kamu, dan tidak juga terima kasih," (76:9).

Kaum yang Dia mencintai adalah yang mencintai-Nya, rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang tidak percaya, berjuang di jalan Allah dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela. Maksud firman Allah:

"maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai, dan mereka mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak takut akan celaan mana-mana pencela." (5:54)

Cinta manusia tidak terhad pada Tuhan sahaja. Dia selanjutnya mewujudkan cinta dan pengasihan terhadap teman-teman hidup manusia supaya mereka dapat berehat pada mereka. Ayat yang menentukannya berbunyi,

"Dan daripada ayat-ayat-Nya ialah bahawa Dia menciptakan untuk kamu, daripada diri-diri kamu sendiri, teman-teman hidup, supaya kamu berehat pada mereka, dan Dia mengadakan antara kamu, cinta dan pengasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu adalah ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan." (30:21)

Perasaan cinta yang diwujudkan Allah berterusan hingga hari akhirat. Ayat berkenaan berbunyi:

"Dan Kami membuatkan mereka anak-anak dara yang tidak tercemar,
Penuh cinta, sebaya," (56:36-37)

Cinta di sana mungkin berlainan sedikit kerana tanpa sebarang kesedihan. Di dunia, terdapat cinta yang membawa kesusahan. Al-Qur'an memberi contoh sebuah cinta tidak dibalas, iaitu cinta isteri gabenor pada Nabi Yusuf. Ayat yang mengisahkannya berbunyi,

"Wanita-wanita tertentu di kota berkata, 'Isteri al-aziz (Gabenor) menggoda pemudanya yang menundukkan hatinya dengan cinta; kami melihat dia dalam kesesatan yang nyata.'" (12:30)

Akibat cinta tersebut Nabi Yusuf dipenjara, bertahun-tahun lamanya.

Keluarga

Cinta atau kasih sayang pada manusia turut diberi kepada sanak saudara. Ia adalah suatu permintaan, seperti disebut dalam firman bererti,

"Katakanlah, 'Aku tidak meminta kepada kamu upah untuk ini, melainkan kasih sayang untuk sanak saudara'" (42:23).

Kasih sayang disampaikan dengan adil. Tidak seperti yang diberi oleh bapa Nabi Yusuf dan saudaranya iaitu menimbulkan perasaan cemburu di kalangan saudara-saudaranya yang lain lalu baginda dibuang untuk dipisahkan daripada bapanya. Al-Qur'an menceritakan,

"Apabila mereka berkata, 'Sesungguhnya Yusuf dan saudaranya lebih dicintai oleh bapa kita daripada kita, sedang kita sekumpulan. Sesungguhnya bapa kita adalah dalam kesesatan yang nyata.'" (12:8)

Cinta pada ahli keluarga yang rapat dan harta yang diperoleh memang wujud tapi tidak dibiarkan melebihi cinta pada Allah, rasul-Nya, dan berjuang di jalan-Nya, khuatir menjadi orang-orang fasiq (tidak mempedulikan perintah Tuhan). Perintah Tuhan,

"Katakanlah, 'Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak lelaki kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu, dan kerabat kamu, dan harta benda yang kamu memperoleh, dan perdagangan yang kamu takut akan kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat berpuas hati - jika ini lebih dicintai oleh kamu daripada Allah dan rasul-Nya, dan untuk berjuang di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan perintah-Nya; Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasiq.'" (9:24)

Sementara ahli keluarga yang lebih menyukai ketidakpercayaan daripada keimanan tidak diambil sebagai wali atau sahabat yang dipercayai, untuk tidak menjadi zalim. Demikian peringatan Tuhan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil bapa-bapa kamu dan saudara-saudara kamu untuk menjadi wali-wali kamu, jika mereka lebih menyukai ketidakpercayaan daripada keimanan; sesiapa antara kamu yang menjadikan mereka sahabat-sahabat, maka mereka itu, merekalah orang-orang yang zalim." (9:23)

Dan, ahli keluarga yang menentang Allah dan rasul-Nya tidak harus disayangi. Firman Tuhan,

"Kamu tidak mendapati sesuatu kaum yang mempercayai Allah dan Hari Akhir menyayangi sesiapa yang menentang Allah dan rasul-Nya, walaupun mereka bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, atau kerabat mereka." (58:22)

Walau betapa banyaknya cinta pada mereka, atau siapa jua, orang yang mencintai tidak dapat memberi petunjuk kepada mereka. Nabi pun sama, tidak dapat memberi petunjuk kepada orang-orang dicintainya. Maka orang-orang dicintai boleh jadi mereka yang tidak percaya atau kafir kepada Allah. Firman-Nya,

"Kamu tidak dapat memberi petunjuk kepada siapa yang kamu mencintai, tetapi Allah memberi petunjuk kepada siapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia sangat mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (28:56)

Mereka yang tidak disayangi, termasuk ahli keluarga, adalah kerana cinta pada keimanan yang diberi Allah. Cinta itu menjadikan seseorang benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), kefasiqan, dan keingkaran. Allah menjelaskan,

"Dan ketahuilah bahawa rasul Allah adalah di kalangan kamu. Jika dia mentaati kamu dalam kebanyakan urusan, kamu akan menderita; tetapi Allah menjadikan cinta pada keimanan kepada kamu, menampakkannya indah di dalam hati kamu, dan Dia menjadikan kamu benci pada ketidakpercayaan (kekafiran), dan kefasiqan, dan keingkaran. Mereka itu, merekalah yang berfikiran waras." (49:7)

Cinta pada keimanan adalah kewarasan fikiran.

Dunia

Dalam kehidupan di dunia hawa nafsu dinampakkan indah bagi manusia. Lantas kecintaannya daripada kesenangan hidup di dunia menjadi keutamaan. Firman Allah,

"Dinampakkan indah bagi manusia ialah kecintaan hawa nafsu (syahwat) daripada perempuan-perempuan, dan anak-anak, dan menimbunkan timbunan emas dan perak, dan kuda-kuda yang ditanda, dan binatang ternak, dan tanaman. Itulah kesenangan kehidupan dunia; tetapi Allah, di sisi-Nya tempat kembali yang terbaik." (3:14)

Oleh kerana itu manusia hidup mencari harta. Setelah memperolehi, dan mencintainya, memberi pula kepada pihak-pihak yang harus menerima. Allah menjelaskan,

"Ia bukanlah ketaatan bahawa kamu memalingkan muka kamu ke Timur dan ke Barat, tetapi ketaatan adalah percaya kepada Allah, dan Hari Akhir, dan malaikat-malaikat, dan Kitab-Kitab, dan Nabi-Nabi; dan memberikan harta, walaupun dicintainya,
kepada sanak saudara,
dan anak-anak yatim,
dan orang-orang miskin,
dan musafir,
dan orang-orang yang meminta-minta;
dan memerdekakan hamba,
dan melakukan solat, dan memberikan zakat, dan mereka yang menepati perjanjian mereka, apabila mereka membuat perjanjian, dan orang-orang yang sabar dalam kecelakaan, dan kesusahan, dan bencana. Mereka inilah orang-orang yang bertakwa (takut kepada Tuhan) dengan benar." (2:177)

Orang-orang yang hidup mewah tidak bersumpah untuk tidak memberi kepada sanak saudara, orang-orang miskin, dan orang-orang berhijrah di jalan Allah, atas sesuatu kesumbangan dan kemungkaran. Sebaliknya mereka harus memaafkan, dan mengampunkan, supaya Allah mengampuni mereka, iaitu suatu amat disukai manusia. Firman Allah,

"Janganlah orang-orang antara kamu yang mempunyai pemberian dan keluasan bersumpah untuk tidak memberi sanak saudara, dan orang-orang miskin, dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah; tetapi hendaklah mereka memaafkan dan mengampunkan. Tidakkah kamu menyukai bahawa Allah akan mengampuni kamu? Allah Pengampun, Pengasih." (24:22)

Sesungguhnya, harta benda dapat membuat seseorang mencapai tahap ketaatan kepada Allah, dengan menafkahkan (membelanjakan) harta yang dicintai. Dia menjelaskan,

"Kamu tidak akan mencapai ketaatan sehingga kamu menafkahkan daripada apa yang kamu mencintakan, dan apa sahaja yang kamu menafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (3:92)

Selanjutnya, cinta pada orang-orang berhijrah, dengan memberi tanpa takut menjadi papa, dan tanpa mengharapkan sesuatu, menjadikan orang-orang yang mencintai beruntung kerana dilindungi daripada kehalobaan jiwa sendiri. Firman Tuhan,

"Dan orang-orang yang telah bertempatkan di tempat tinggal, dan dalam keimanan, sebelum mereka, mencintai sesiapa yang berhijrah kepada mereka, dengan tidak mendapati di dalam dada mereka sebarang hajat (keinginan) terhadap apa yang mereka memberikan, dan lebih menyukai yang lain di atas diri mereka, walaupun kepapaan adalah bahagian mereka. Dan sesiapa yang dilindungi daripada kehalobaan jiwanya sendiri, mereka itu, merekalah orang-orang yang beruntung." (59:9)

Tidak haloba! Maka dunia dicari dan dicintai dengan tidak melampaui batas hingga melupakan hari akhirat. Ayat-ayat yang memberi peringatan tersebut berbunyi,

"Sesungguhnya mereka ini mencintai yang cepat (dunia), dan meninggalkan di belakang mereka satu hari yang berat." (76:27)

"Dan kamu mencintai harta dengan kecintaan yang berlebihan." (89:20)

"Sesungguhnya dia mencintai benda-benda yang baik dengan sangatnya." (100:8)

Nabi Sulaiman pun tidak terlepas daripada mencintai benda-benda baik sehingga hampir melupakan waktu untuk mengingati Allah. Ayat yang mengingatkan berbunyi,

"Dia (Sulaiman) berkata, 'Sesungguhnya aku mencintai kecintaan pada benda-benda yang baik lebih daripada mengingati Pemeliharaku sehingga matahari tersembunyi di belakang hijab (tabir).'" (38:32)

Suka

Bukan sahaja harta benda yang boleh membawa kerugian pada hari akhir malah dalam kehidupan di dunia terdapat lagi beberapa sifat buruk tetapi disukai oleh sesetengah pihak. Sifat-sifat tersebut jelas dinyatakan di dalam tiga ayat di bawah:

"Janganlah menyangka bahawa orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka mendatangkan, dan suka dipuji atas apa yang mereka tidak buat; janganlah kamu menyangka bahawa mereka aman daripada azab; dan bagi mereka, azab yang pedih." (3:188)

"Orang-orang yang menyukai bahawa kesumbangan disebarkan mengenai orang-orang yang percaya, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui." (24:19)

"Wahai orang-orang yang percaya, jauhilah kebanyakan sangkaan; sebahagian sangkaan adalah dosa. Dan janganlah mengintip, dan jangan juga mengumpat satu sama lain; adakah salah seorang antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Kamu membencinya! Dan kamu takutilah Allah; sesungguhnya Allah Menerima Taubat, Pengasih." (49:12)

Azab pedih menanti orang-orang yang suka melakukan kejahatan-kejahatn tersebut.

Terdapat juga manusia salah membuat pilihan. Yang baik disangka buruk lalu dibenci, dan yang buruk disangka baik lalu disukai. Firman Allah,

"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu berperang, walaupun ia adalah kebencian bagi kamu, dan mungkin kamu membenci sesuatu yang lebih baik bagi kamu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu yang lebih buruk bagi kamu; Allah mengetahui, dan kamu tidak mengetahui." (2:216)

Dan, ada tidak suka pada yang mereka sendiri tahu baik, iaitu orang-orang memberi nasihat, seperti kaum Nabi Salleh, lalu ditimpa gempa bumi. Peringatan Tuhan berbunyi,

"Maka dia (Salleh) berpaling daripada mereka, dan berkata, 'Wahai kaumku, aku telah menyampaikan kepada kamu Mesej Pemeliharaku, dan menasihati kamu, tetapi kamu tidak menyukai orang-orang yang memberi nasihat.'" (7:79)

Apa yang tidak disukai dengan sebenarnya ialah nasihat mengandungi Mesej Pemelihara mereka.

Terdapat pula orang-orang menyukai orang-orang lain, tetapi orang-orang itu tidak menyukai mereka. Orang-orang yang tidak disukai itu mempercayai semua kandungan Kitab. Al-Qur'an menjelaskan,

"Beginilah kamu ini; kamu menyukai mereka, dan mereka tidak menyukai kamu; kamu mempercayai Kitab, semuanya, dan apabila mereka berjumpa dengan kamu, mereka berkata, 'Kami percaya', tetapi apabila mereka menyendiri, mereka menggigit jari-jari mereka kerana marah pada kamu. Katakanlah, 'Matilah dalam kemarahan kamu; sesungguhnya Allah mengetahui apa yang di dalam dada.'" (3:119)

Namun, ada orang lebih suka memilih yang buruk, seperti kebutaan daripada petunjuk. Firman Tuhan,

"Bagi Tsamud, Kami memberi mereka petunjuk, tetapi mereka lebih menyukai kebutaan daripada petunjuk, maka halilintar daripada azab yang menghinakan mengambil mereka kerana apa yang mereka mengusahakan." (41:17)

Akhir sekali, terdapat orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat. Erti firman Tuhan,

"Itu adalah kerana mereka lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan bahawa Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang tidak percaya." (16:107)

Mereka itu adalah orang-orang yang dadanya dilapangkan dalam ketidakpercayaan, maka bagi mereka kemurkaan daripada Allah, dan bagi mereka, azab yang besar (16:106).

Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang menyukai kehidupan dunia daripada akhirat. Jika mereka selanjutnya menghalangi jalan Allah dan menginginkannya menjadi bengkok maka mereka menjadi sesat dalam kesesatan yang jauh. Firman Tuhan,

"Orang-orang yang lebih menyukai kehidupan dunia daripada akhirat, dan menghalangi daripada jalan Allah, dan menginginkannya menjadi bengkok; mereka adalah dalam kesesatan yang jauh." (14:3)

Walaupun banyak sifat buruk disukai manusia tetapi ada juga yang baik disukainya - iaitu suka membersihkan diri mereka. Ayat di bawah menjelaskan:

"Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka membersihkan diri mereka; dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka." (9:108)

Hidup di dunia umpama suatu perdagangan. Paling disukai dalam perdagangan ialah pertolongan daripada Allah, dan kemenangan. Apa dimaksudkan dengan perdagangan diterangkan di dalam ayat-ayat berikut:

"Wahai orang-orang yang percaya, mahukah Aku menunjukkan kamu perdagangan yang akan menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?
Kamu mempercayai Allah dan rasul-Nya, dan berjuang di jalan Allah dengan harta kamu dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Dia akan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu, dan memasukkan kamu ke taman-taman yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, dan ke tempat-tempat tinggal yang baik di dalam Taman-Taman Adn; itulah kemenangan yang besar,
Dan yang lain yang kamu menyukai, pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat. Berilah kamu berita gembira kepada orang-orang mukmin! (61:10-13)

Kasih Sayang

Seperti telah dinyatakan terlebih dahulu bahawa kasih sayang sesama manusia adalah untuk sanak saudara (42:23). Akan tetapi jika mereka menjadi musuh Allah maka kasih sayang tidak diberi kepada mereka. Perintah Tuhan berbunyi,

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil musuh-Ku dan musuh kamu untuk wali (sahabat), dengan menyampaikan kasih sayang kepada mereka, walaupun mereka tidak percaya kepada yang benar yang datang kepada kamu, dengan mengusir rasul dan kamu kerana kamu mempercayai Allah, Pemelihara kamu. Jika kamu keluar untuk berjuang di jalan-Ku dan menginginkan kepuasan hati-Ku, dengan merahsiakan kasih sayang kepada mereka, dan Aku sangat mengetahui apa yang kamu menyembunyikan dan apa yang kamu menyiarkan; dan sesiapa antara kamu yang berbuat demikian itu, dia sesat daripada jalan yang betul." (60:1)

Kasih sayang sesama manusia tidak wujud apabila tidak bersama dalam perjuangan di jalan Allah. Iktibar diambil daripada ayat berbunyi:

"Tetapi jika pemberian daripada Allah menimpa kamu, tentu dia mengatakan seakan-akan tidak pernah ada kasih sayang antara kamu dan dia, 'Sekiranya aku berada bersama mereka, tentu aku mendapat kemenangan dengan kemenangan yang besar.'" (4:73)

Tanda kasih sayang sesama manusia di kehidupan dunia, turut terdapat pada berhala. Berhala adalah bukan sahaja berbentuk patung tetapi juga manusia, yang menjadi tempat dihalakan segala permintaan dan petunjuk. Berhala jenis manusia, kadang kala, disembah tanpa menyedarinya. Firman Tuhan,

"Dan berkata, 'Kamu mengambil untuk kamu hanyalah berhala-berhala, selain daripada Allah, sebagai tanda kasih sayang antara kamu dalam kehidupan dunia; kemudian pada Hari Kiamat, sebahagian kamu akan tidak percaya kepada sebahagian yang lain, dan kamu melaknatkan satu sama lain, dan tempat menginap kamu ialah Api, dan kamu tidak ada penolong-penolong.'" (29:25)

Apa dikatakan berlaku pada Hari Kiamat, iaitu pertengakaran dan laknat-melaknat antara satu sama lain, pasti berlaku.

Tidak dinafikan, orang-orang yang percaya kepada Kitab mempunyai musuh, daripada ahli keluarga mahupun dari luar. Sekiranya mereka berlembut seperti memberi tahu bahawa mereka akan meminta ampun untuk mereka kepada Allah, rasa bermusuhan mungkin akan hilang dan diganti dengan rasa kasih sayang. Firman Tuhan,

"Mudah-mudahan Allah membuatkan, antara kamu dan orang-orang antara mereka yang kamu bermusuhan, rasa kasih sayang. Allah berkuasa; Allah Pengampun, Pengasih." (60:7)

Dengan penganut agama lain, mereka paling dekat dalam kasih sayang dengan orang-orang yang percaya adalah orang-orang menggelar diri mereka Kristian. Ayat berikut menjelaskan,

"Sungguh, kamu mendapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang Yahudi, dan orang-orang yang mempersekutukan; dan sungguh kamu mendapati mereka yang paling dekat dalam kasih sayang terhadap orang-orang yang percaya ialah orang-orang yang berkata, 'Kami adalah orang-orang Kristian'; itu adalah kerana sebahagian mereka adalah paderi-paderi dan rahib-rahib, dan mereka tidak menyombongkan diri." (5:82)

Allah Yang Penyayang sentiasa melontarkan kasih sayang. Kasih sayang daripada Allah tidak serupa dengan diberi oleh manusia. Satu contoh yang digambarkan-Nya terdapat dalam cerita Nabi Musa berbunyi,

"'Lemparkanlah dia ke dalam tabut (peti), dan lemparkanlah dia ke laut, dan biarkanlah laut melemparnya ke tebing. Seorang musuh-Ku dan musuhnya akan mengambilnya.' Dan Aku melemparkan kepada kamu kasih sayang daripada-Ku, dan supaya kamu dibentuk di bawah mata-Ku (pengawasan-Ku)" (20:39).

Hasil kasih sayang daripada Allah, musuh yang pada mula ingin membunuh, menjadi pembela pula.

Allah

Selain daripada itu, Allah berhak menyukai atau tidak menyukai hamba-hamba-Nya. Keputusan-Nya berdasarkan sebab-sebab tertentu. Lalu terjadilah golongan orang-orang yang disukai dan tidak disukai-Nya.

Orang-orang yang disukai-Nya ada tujuh golongan. Pertama, orang-orang berbuat baik - terdiri daripada mereka yang memberi nafkah, berperang di jalan-Nya, memaaf dan mengampunkan, percaya, bertakwa dan membuat kerja-kerja kebaikan. Firman-firman-Nya,

"Dan nafkahkanlah (belanjakanlah) di jalan Allah, dan janganlah melemparkan diri-diri kamu dengan tangan-tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan, tetapi berbuatbaiklah; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (2:195)

"Yang menafkahkan dalam kesenangan dan kesusahan, dan menahan kemarahan mereka, dan memaafkan manusia; dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik," (3:134)

"Dan Allah memberikan mereka ganjaran dunia, dan sebaik-baik ganjaran akhirat, dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik" (3:148).
Mereka adalah orang-orang yang berperang di jalan Allah. Ucapan mereka hanyalah, "Wahai Pemelihara kami, ampunilah kami atas kesalahan-kesalahan kami, dan apa yang membazir (berlebihan) dalam urusan kami, dan teguhkanlah kaki kami, dan tolonglah kami terhadap kaum yang tidak percaya." (3:146-147)

"Maka kerana memecahkan perjanjian mereka (Bani Israil), Kami melaknatkan mereka, dan menjadikan hati mereka keras. Mereka mengelirukan perkataan-perkataan daripada makna-maknanya, dan mereka melupakan sebahagian daripada apa yang mereka telah diperingatkan; dan kamu tidak akan berhenti melihat pengkhianatan daripada mereka, kecuali sedikit antara mereka. Namun begitu, maafkanlah mereka dan ampunkanlah; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (5:13)

"Tidaklah bersalah ke atas orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, mengenai apa yang mereka makan jika mereka bertakwa, dan percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan, dan kemudian bertakwa, dan percaya, kemudian bertakwa, dan berbuat baik; Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." (5:93)

Golongan kedua ialah orang-orang bertaubat, dan orang-orang yang membersihkan diri mereka. Ayat yang menjelaskan berbunyi,

"Mereka menanyai kamu mengenai haid. Katakanlah, 'Ia adalah gangguan; maka hendaklah kamu menjauhkan daripada perempuan-perempuan semasa dalam haid, dan janganlah mendekati mereka sehingga mereka bersih. Apabila mereka telah membersihkan diri-diri mereka, maka datangilah mereka sebagaimana Allah memerintahkan kamu.' Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat, dan Dia menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka." (2:222)

Sebuah lagi ayat dapat dikesan, tetapi menyebut hanya orang-orang yang membersihkan diri mereka sahaja, berbunyi,

"Janganlah berdiri di dalamnya selama-lamanya. Masjid yang didirikan atas takwa sejak hari pertama adalah lebih wajar untuk kamu berdiri di dalamnya; di dalamnya terdapat lelaki-lelaki yang suka membersihkan diri mereka; dan Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri mereka." (9:108)

Ketiga, golongan orang-orang bertakwa (takut kepada Tuhan). Tiga ayat yang menyebutnya adalah:

"Tidak, tetapi sesiapa yang menepati perjanjiannya, dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (3:76)

"Kecuali orang-orang yang menyekutukan yang dengan mereka kamu telah membuat perjanjian, kemudian mereka tidak mengurangkan kamu sedikit pun, dan tidak juga menyokong seseorang pun terhadap kamu. Dengan mereka, sempurnakanlah perjanjian kamu sampai tempoh mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (9:4)

"Bagaimanakah ada bagi orang-orang yang menyekutukan satu perjanjian dengan Allah dan rasul-Nya, kecuali orang-orang yang dengan mereka kamu membuat perjanjian di Masjidil Haram; selama mereka berlaku lurus terhadap kamu, kamu berlakuluruslah terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa." (9:7)

(Sila lihat Syurga dan Orang Bertakwa. Terima kasih.)

Keempat, orang-orang yang sabar. Firman-Nya,

"Dan berapa ramainya Nabi yang bersamanya ramai telah berperang, dan mereka yang ber-Pemelihara tidak menjadi lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lemah, dan tidak juga tunduk; dan Allah menyukai orang-orang yang sabar." (3:146)

Golongan seterusnya, iaitu kelima, terdiri daripada orang-orang yang bertawakal kepada Allah. Firman-Nya,

"Adalah dengan pengasihan Allah kamu berlaku lemah lembut kepada mereka, dan sekiranya kamu berkasar dan berkeras hati, tentu mereka menyuraikan diri dari sekeliling kamu. Maka maafkanlah mereka, dan mintalah ampun untuk mereka, dan berundinglah dengan mereka dalam urusan. Apabila kamu telah memutuskan, percayakanlah (tawakal) kepada Allah; sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang mempercayakan." (3:159)

Keenam, orang-orang yang adil. Mereka disebut di dalam tiga ayat di bawah:

"Yang mendengar yang bohong, dan memakan yang haram. Jika mereka datang kepada kamu, hakimkanlah antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka, mereka tidak akan memudaratkan kamu sedikit pun; dan jika kamu menghakimkan, maka putuskanlah dengan adil antara mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil." (5:42)

"Jika dua golongan orang-orang mukmin berperang, betulkanlah antara mereka; kemudian, jika satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh, sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah antara mereka dengan adil, dan berlakuadillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang adil." (49:9)

"Allah tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat tinggal kamu, supaya kamu berbuat baik kepada mereka, dan berlaku adil terhadap mereka; sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil." (60:8)

Ketujuh, yang akhir, ialah orang-orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan-barisan, atau berstrategi, berdisiplin, teratur. Firman-Nya,

"Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan, seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu." (61:4)

Beralih kepada orang-orang yang Allah tidak suka pula. Terdapat lapan golongan disebut di dalam al-Qur'an. Pertama, orang-orang yang mencabul. Tiga ayat berkaitan berbunyi,

"Dan berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul." (2:190)

"Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengharamkan benda-benda yang baik yang Allah menghalalkan bagi kamu, dan jangan mencabul; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang mencabul." (5:87)

"Berserulah kepada Pemelihara kamu dengan merendah diri dan dengan berahsia; Dia tidak menyukai orang-orang yang mencabuli." (7:55)

Kedua, kerosakan dan orang-orang yang membuat kerosakan. Ayat-ayatnya berbunyi,

"Dan apabila dia berpaling, dia berusaha di bumi untuk membuat kerosakan padanya, dan untuk memusnahkan tanaman, dan anak-anak pokok; dan Allah tidak menyukai kerosakan." (2:205)

"Dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Pemelihara kamu akan menambah kepada kebanyakan antara mereka (orang-orang Yahudi), dalam kelampauan batas, dan ketidakpercayaan; dan Kami melemparkan di kalangan mereka, permusuhan dan kebencian, sampai Hari Kiamat. Setiap kali mereka menyalakan api untuk perang, Allah memadamnya. Mereka berusaha di bumi untuk membuat kerosakan padanya; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan." (5:64)

"Tetapi carilah, dengan apa yang Allah memberikan kamu, tempat kediaman akhir, dan janganlah melupakan bahagian kamu di dunia ini; dan berbuatbaiklah, sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu. Dan janganlah mencari untuk membuat kerosakan di bumi; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membuat kerosakan." (28:77)

(Sila rujuk artikel Kerosakan di Bumi untuk keterangan lanjut. Terima kasih.)

Golongan ketiga ialah orang-orang yang tidak percaya (kafir). Bagi mereka terdapat tiga ayat bermaksud,

"Katakanlah, 'Taatlah kepada Allah, dan rasul.' Tetapi jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang tidak percaya." (3:32)

"Supaya Dia membalas orang-orang yang percaya, dan membuat kerja-kerja kebaikan daripada pemberian-Nya; Dia tidak menyukai orang-orang yang tidak percaya." (30:45)

"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang percaya; sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap pengkhianat, yang tidak berterima kasih (kafir)." (22:38)

(Sila rujuk artikel Kafir dan Al-Qur'an. Terima kasih.)

Keempat, orang-orang yang zalim. Ayat-ayat mengenai golongan ini seperti berikut:

"Bagi orang-orang yang percaya yang membuat kerja-kerja kebaikan, Dia akan membayar sepenuhnya upah mereka; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim." (3:57)

"Jika luka menyentuh kamu, maka luka yang serupa telah pun menyentuh kaum itu, dan harinya itu Kami menggilirkan antara manusia, dan supaya Allah mengetahui orang-orang yang percaya, dan Dia mengambil saksi-saksi daripada kalangan kamu; dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim." (3:140)

"Dan balasan ke atas kejahatan ialah kejahatan yang serupa dengannya; tetapi sesiapa memaafkan, dan membetulkan, maka upahnya adalah atas Allah; sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." (42:40)

(Sila rujuk artikel Siapa sebenarnya orang zalim. Terima kasih.)

Golongan kelima ialah orang-orang yang sombong, membanggakan diri. Lima ayat bersangkutan berbunyi,

"Sembahlah Allah, dan janganlah menyekutukan sesuatu dengan-Nya. Berbuatbaiklah kepada ibu bapa, dan kepada sanak saudara yang dekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran yang kerabat, dan jiran yang tidak dikenali, dan teman di sebelah kamu, dan musafir, dan apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong, membanggakan diri," (4:36).

"Tidak syaklah bahawa Allah mengetahui apa yang mereka merahsiakan, dan apa yang mereka menyiarkan; sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang sombong" (16:23).
Ayat seterusnya berbunyi, "Dan apabila dikatakan kepada mereka, 'Apakah yang Pemelihara kamu menurunkan?' Mereka berkata, "Dongeng orang-orang dahulu kala.'" (16:24)

"Sesungguhnya Karun adalah daripada kaum Musa; dia menjadi angkuh kepada mereka kerana Kami memberinya harta-harta simpanan yang kunci-kuncinya adalah beban yang sungguh berat untuk sekumpulan orang yang mempunyai kekuatan. Apabila kaumnya berkata kepadanya, 'Janganlah kamu berbangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membanggakan diri.'" (28:76)

"Janganlah memalingkan pipi kamu daripada manusia, dan janganlah berjalan di bumi dengan sangat gembira; Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong dan membanggakan diri." (31:18)

"Supaya kamu tidak berdukacita kerana apa yang terlepas daripada kamu, dan tidak juga bergembira dengan apa yang diberi kepada kamu; Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong, membanggakan diri," (57:23).

Keenam, pengkhianat. Firman-firmannya berbunyi,

"Dan janganlah berdebat untuk orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri; sesungguhnya Allah tidak menyukai pengkhianat yang berdosa." (4:107)

"Dan jika kamu takut akan pengkhianatan daripada satu kaum, maka lemparkanlah kepada mereka yang sama; sesungguhnya Allah tidak menyukai pengkhianat-pengkhianat." (8:58)

"Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang percaya; sesungguhnya Allah tidak menyukai setiap pengkhianat, yang tidak berterima kasih (kafir)." (22:38)

Ketujuh, kelantangan ucapan yang jahat. Firman-Nya,

"Allah tidak menyukai kelantangan ucapan yang jahat, kecuali orang yang dizalimi; Allah adalah Mendengar, Mengetahui." (4:148)

Golongan terakhir, iaitu kelapan yang tidak disukai Allah, terdiri daripada orang-orang membazir. Dua ayatnya berbunyi,

"Makanlah buah-buah mereka apabila mereka berbuah, dan berilah yang patut diberi pada hari memetiknya, dan janganlah membazir; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang membazir." (6:141)

"Wahai Bani Adam, ambillah perhiasan kamu di setiap masjid; dan makan dan minumlah, tetapi janganlah kamu membazir; Dia tidak menyukai orang-orang yang membazir." (7:31)

Selain daripada dua yang telah disebut - memakan, memberi buah-buahan, dan perhiasan, makan, minum - terdapat lapan lagi amalan disifatkan Allah sebagai membazir. Mereka adalah seperti berikut:

1- pemberian nafkah yang membazir (25:67),
2- pembunuhan (5:32 dan 17:33),
3- membuat kerosakan di bumi (26:151-152),
4- amalan homoseksual (7:81),
5- melupakan kesusahan yang menimpa dan seruan yang telah dibuat kepada Allah (10:12),
6- melupakan ayat-ayat Allah (20:126-127),
7- ragu-ragu terhadap ayat-ayat Allah (40:34), dan,
8- berdusta, seperti terhadap ayat-ayat Allah (40:28).

Sekiranya bicara mengenai cinta, kasih sayang dan suka, yang didapati di dalam al-Qur'an, ingin disambungkan lagi maka ia tidak tamat di sini. Kerana antara seratus ayat yang dirakam di sini terdapat beberapa yang boleh dihuraikan lagi. Justeru, memadailah hingga di sini sahaja.

Apapun, ia diharap dapat meyakinkan lagi bahawa Kitab al-Qur'an itu sempurna sebagai petunjuk ke jalan lurus. Kitab atau pegangan lain tidak perlu diambil lagi.

Terbit pula persoalan mengenai ungkapan kekasih Allah atau kekasih-Nya yang dipakai oleh sesetengah golongan dalam Islam bagi segolongan manusia atau bagi Nabi. Dukacita dimaklumkan iaitu ungkapan tersebut tidak terdapat di dalam al-Qur'an, kecuali dalam ayat berikut:

"Dan berkata orang-orang Yahudi, dan orang-orang Kristian, 'Kami adalah anak-anak Allah, dan kekasih-kekasih-Nya.' Katakanlah, 'Mengapa pula Dia mengazab kamu kerana kesalahan-kesalahan kamu? Tidak, kamu adalah makhluk daripada ciptaan-Nya; Dia mengampuni siapa yang Dia mengkehendaki, dan Dia mengazab siapa yang Dia mengkehendaki.' Kerana kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, dan apa yang di antara keduanya; kepada-Nya kepulangan." (5:18)

Jangan-jangan ungkapan dan kepercayaan itu diseludup masuk ke dalam Islam dari jiran yang tidak seagama!

Comments

Popular posts from this blog

Macam mana nak tukar TEMPLATE for BLOGGER ONLY

Transurethral resection of the prostate (TURP)